Sistem Pengurusan Fatwa
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, INFAD USIM
 
 

   Mufti 1

 

Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman

( 1893M hingga 1907M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman.

Tempat Lahir     : Kota Bharu, Kelantan.

Tarikh Lahir       : Tahun 1854M bersamaan 1271H.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Beliau telah mewakili Sultan Mansur untuk membeli rumah putih milik Syeikh Muhammad Salleh al-Kurdi di Mekah pada 12 Safar 1312H (14 Ogos 1894) untuk dijadikan sebagai rumah wakaf kepada anak-anak Kelantan yang belajar di sana dan juga yang mengunjunginya.
  • Khidmat yang seterusnya dicurahkan oleh beliau adalah pada 9 Jun 1900 apabila beliau turut mengiringi Raja Kelantan yang kemudian bergelar Sultan Muhammad IV pergi ke Bangkok, Thailand dan kemudian kembali semula pada 10 Ogos 1900.
  • Semasa zaman pemerintahan tersebut iaitu semasa beliau memegang jawatan mufti, terdapat jawatan nazir yang dilantik untuk membuang panji-panji yang dipacak di tempat-tempat keramat pemujaan.

Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Ramadhan 1325H (4 November 1907) ketika berusia 54 tahun. Beliau masih memegang jawatan sebagai mufti dan juga Imam Tua Masjid Besar Kota Bharu semasa meninggal dunia. Beliau kemudian telah dikebumikan pada hari berikutnya di Kubur Banggul, Kota Bharu dan jenazahnya telah diziarahi oleh Sultan Muhammad IV dan Raja Muda Tengku Zainal Abidin bin Tengku Kundor.

    Mufti 2

     

Haji Wan Ishak Bin Imam Haji Abdullah

( 1907M hingga 1909M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Haji Wan Ishak Bin Imam Haji Abdullah.

Tempat Lahir     : Kampung Imam Haji Abdullah.

Tarikh Lahir       : Tahun 1875.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Sultan Muhammad ke-IV telah melantik beliau sebagai Khatib Surau Kota Bharu pada 17 Oktober 1907 setelah kematian Haji Wan Nik Daud Haji Wan Sulaiman.
  • Kemudian Majlis Mesyuarat Negeri yang diadakan pada 11 November 1907 bersamaan 5 Syawal 1325 telah bersetuju melantik beliau sebagai mufti baru dan jawatan itu dipegang oIeh beliau sehingga awal 1909.
  • Beliau telah diberi kepercayaan untuk mentashih risalah "'Akdu al-darri al-Nafis" setebal 122 muka surat.

Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 25 Jamadilawal 1333 bersamaan 9 April 1915 semasa usia beliau 40 tahun.

   Mufti 3

      

Haji Musa bin Haji Abdul Samad

( 1909M hingga 1916M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Haji Musa bin Haji Abdul Samad.

Tempat Lahir     : Lorong Tok Semain, Kota Bharu.

Tarikh Lahir       : 1875M/I929H.

PENDIDIKAN

  • Beliau telah menuntut ilmu pada usia muda di Kota Mekah dengan berguru dengan Syeikh Hasbullah, Syeikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh Muhammad dan Ahmad al-Dandraw dan juga para ilmuan lain.
  • Beliau banyak mengkaji kitab dan sering mengikuti perkembangan siasah dunia dengan membaca akhbar dan majalah dalam dan luar negeri seperti aI-Imam (1906), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928), al-Manar dan al-Urwat al-Wuthqa.
  • Beliau juga pernah berutus surat dengan Maulana Ubaidullah al-Sindhi (guru anaknya di Mekah) dan Syeikh Muhammad Rashid Ridza (Mesir).
  • Baginda Sultan Muhammad IV telah bersetuju melantik beliau menjadi Mufti Kerajaan tetapi watikah perlantikan hanya diserahkan selepas tempoh enam bulan iaitu berkemungkinan selepas pengesahan jawatan.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Sumbangan awal yang telah diberikan oleh beliau adalah mengeluarkan fatwa tentang masalah lafaz asli, muqarramah takbiratul ihram serta kifiatnya.
  • Mengikut karangan Tengku Mahmud Zuhdi Tengku Abdul Rahman al-Fatani fatwa radikal itu telah dikeluarkan pada tahun 1327 dan ia mendapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin tua.

PENULISAN

  • Antara hasil penulisannya yang telah dicetak ialah 'Aqdu al-Darri al-Nafis yang telah diterjemahkan daripada karangan Saidi Ibrahim ai-Rashid mengenai manaqib Syeikh Ahmad Idris yang selesai ditulis pada 4 Januari 1906.
  • Selain itu, risalah manaqib Saidi Ibrahim ai-Rashid bin Syeikh Salleh karangan Syeikh Ismail al-Nuwwab yang selesai diterjemah pada Ogos 1906.
  • Koleksi beliau kebanyakannya disimpan di Arkib Malaysia Cawangan Kelantan.

Beliau telah meninggal dunia pada 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939 secara mengejut pada jam 3.00 petang dan jenazah beliau dikebumikan di Kubur Banggul.

    Mufti 4

       

Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad

( 1916M hingga 1920M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad.

Tarikh Lahir       : 5 Rejab 1287 (akhir September 1870).

Sifat                  : Beliau dikenali sebagai seorang mufti yang lemah lembut perlakuannya.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Pada November 1896, beliau telah dilantik sebagai Imam Muda Masjid Besar Kota Bharu dan selepas kematian Haji Wan Daud, beliau dilantik menjadi Imam Tua masjid tersebut.
  • Beliau kemudian dilantik sebagai mufti selepas perletakan jawatan oleh adiknya pada 21 Ogos 1916.
  • Memegang portfolio lain iaitu sebagai anggota Majlis Agama Islam Kelantan sejak Disember 1915, Hakim Mahkamah Syariah mulai 2 Januari 1916 hingga 19 April 1920.
  • Ketua atau Yang DiPertua Jemaah Ulama Majlis mulai 27 Mei 1918.
  • Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan mulai 23 Disember 1919.
  • Beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam memberi usul nama timang-timangan Darul Naim bagi negeri Kelantan dan akhirnya diperkenankan oleh baginda sultan.
  • Ramai ulama yang pernah mengikuti majlis ilmunya seperti Syeikh Othman Jalaludin Sering, Imam Haji Muhammad Abu Bakar al-Kelantani Kampung Panjang, Haji Yusuf Ismail Lundang Paku, Haji Yaakub Yusuf Kampung Lati (Belukar Larak), Haji Hamzah Yunus Padang Bemban, Haji Ismail Nik Mat Kampung Paluh (Bukit Panau), Lebai Daud Ahmad Kampung Jejuluk (Pasir Mas), Wan Nawang atau Sulaiman Wan Abdul Rahman Kampung Jaya, Haji Abdul Rahman Idris Sering, Haji Nik Othman Abdul Karim Muhammad Salleh Padang Tembusu.

DARJAH KEBESARAN

  • Beliau juga merupakan mufti pertama yang dikurniakan bintang Seri Mahkota Kelantan dan anugerah tersebut diterima oleh beliau pada 15 April 1920.

Beliau telah meninggal dunia secara mengejut pada waktu Maghrib 27 Rabiulawal 1339 (malam Rabu) bersamaan 7 Disember 1920 ketika berusia 51 tahun 8 bulan dan 3 minggu. Beliau telah dikebumikan di Kubur Banggul, Kota Bharu.

     Mufti 5

 

Dato' Haji Che Idris bin Haji Che Hassan

( 1921M hingga 1927M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Dato' Haji Che Idris bin Haji Che Hassan.

Tempat Lahir     : Bandar Kata Bharu.

Tarikh Lahir       : Tahun 1300H/1882M.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Beliau pada awalnya telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Islam Kelantan merangkap Setiausaha Majlis Ulama (kini dikenali Jemaah Ulama Majlis) pada awal tahun 1920.
  • Kemudian mulai 5 Mac 1921, beliau telah dilantik sebagai mufti di mana secara sendirinya menjadi Yang DiPertua Majlis Ulama (kini pengerusi Jemaah Ulama).

DARJAH KEBESARAN

  • Gelaran Dato' Mufti telah diberikan kepada beliau pada 23 Julai 1921 dan empat tahun kemudian telah dikurniakan darjah kebesaran Dato Paduka Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Dato.

     Mufti 6

      

Dato' Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Yusuf

( 1928M hingga 1941M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Dato' Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Yusuf.

Tarikh Lahir       : Tahun 1228H/1871M.

Tempat Lahir     : Kampung Banggul Kota Bharu.

PENDIDIKAN

  • Ketika usia mudanya, beliau telah belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malek Sungai Pinang.
  • Kemudian beliau meneruskan pelajaran ke Mekah dan Madinah serta berguru dengan ramai ulama ternama pada ketika itu.
  • Beliau merupakan seorang yang kuat menghafaz serta suka beramal ilmu yang berkaitan keduniaan dan keakhiratan dan hasilnya beliau telah menyusun sebuah risalah khusus "al-Fawa'id al-Duniyawiyyah" pada tahun 1903.  

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Tugasan awal yang telah dijawat oleh beliau adalah sebagai seorang pengajar di Sekolah Majlis pada tahun 1912 dan juga merupakan seorang guru agama di Kampung Masjid Besar Kota Bharu.
  • Beliau pernah berdakwah ke Kemboja selama hampir dua tahun sehingga fasih berbahasa negara itu.
  • Beliau secara tetapnya telah mengajar dan tinggal di Kampung Penambang, Kota Bharu.
  • Antara muridnya yang terkenal ialah seperti Haji Muhammad Zain Kedah (pengasas pondok Meranti), Haji Wan Idris Tok Uban (pengasas pondok Rasal), Haji Yaakub Nipah (pengasas Pondok dan Sekolah Arab Yaakubiah, Nipah), Haji Nik Othman Kampung Arnir (Besut), Haji Yusuf Kampung Cop (Bukit Marak), Haji Ismail Gok Kapur, Muhammad Salleh Haji Harun Kemboja, Haji Jaafar Bomoh, Pandang Landak (Jerteh), Haji Wan Taib (Rantau Panjang) dan Haji Nik Mahmud Haji Ismail (Dato Perdana Menteri Paduka Raja) yang juga kawannya.
  • Beliau telah dilantik memegang jawatan mufti ketika berusia 57 tahun pada awal bulan Mac 1928 bagi menggantikan Haji Idris yang telah meninggal dunia.

Setelah 13 tahun kematiannya, anak beliau Haji Muhamad Noor pula dilantik menjadi Mufti kerajaan Kelantan yang kelapan.

     Mufti 7

      

DATO’ HAJI AHMAD MAHER BIN HAJI ISLAIL AL-AZHARI

( 1941M hingga 1968M )

LATAR BELAKANG

Nama                : DATO’ HAJI AHMAD MAHER BIN HAJI ISLAIL AL-AZHARI.

Tempat Lahir     : Mua'lla, Mekah.

Tarikh Lahir       : Bulan Ramadhan 1322H/1904.

Isteri                 : Hajah Che Zainab binti Hj Che Lah.

  Hajah Wan Aminah binti Wan Ali.

  Che Aishah dan Hajah Che Som binti Hj Othman.

Anak                 : 16 orang cahaya mata.

PENDIDIKAN

  • Beliau pulang ke Kelantan pada usia sembilan tahun dan telah dihantar untuk mengikuti pengajian di Pondok Tok Kenali dan seterusnya mengikuti pengajian halaqah kitab di Masjid Kayu Kota Bharu.
  • Beliau telah berguru dengan Tok Khatib Haji Nik Abdullah, Haji Ahmad Hakim dan Maulana Tok Khurasan.
  • Pada 8 Oktober 1925 beliau telah pergi belayar ke Mesir dan menuntut ilmu di Universiti AI-Azhar.
  • Antara guru kesayangannya adalah Syeikh Muhammad bin Bakhit al-Hanafi dan beliau lebih cenderung dalam ilmu al-fiqh dan ilmu alat serta lulus pengajian dalam masa yang singkat.
  • Hal ini membuatkan beliau digelar (tok) Maher.
  • Beliau diriwayatkan mempunyai kelebihan menguasai 32 jenis ilmu termasuk mantiq, falsafah dan balaghah.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Beliau telah dilantik sebagai Nazir Pelajaran di Majis Agama Islam Kelantan pada 1 Julai 1931 setelah kembali ke Kota Bharu.
  • Pada 1 Disember 1933, beliau telah mengambil tugas-tugas pengarang Pengasuh.
  • Pada tahun 1934, beliau telah dilantik menyandang jawatan Ketua Pelajaran Majlis.
  • Semasa memegang jawatan ini beliau telah cuba memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk sistem dan kurikulum pelajaran agama.
  • Memegang jawatan Kadi Besar Kelantan yang kedua pada 15 Oktober 1935.
  • Seterusnya dilantik sebagai Mufti Khas kepada Sultan Ismail.
  • Diberi amanah besar untuk memegang jawatan sebagai Pemangku Mufti Kerajaan Kelantan pada 1 September 1941 berikutan selepas perlepasan jawatan tersebut oleh Mufti Haji Ibrahim.
  • Pemangkuan jawatan ini telah disahkan pada 1 Januari 1945 dan beliau memegang jawatan tersebut hingga ke akhir hayat beliau.
  • Pengalaman mengajar di Masjidil Haram, Mekah banyak membantu beliau semasa berkhidmat di Kampus Masjid Muhammmadi Kota Bharu.
  • Ramai anak muridnya yang datang dari dalam dan luar negeri Kelantan. Antara anak muridnya yang terkemuka dari negeri Kedah ialah Haji Othman Yunus Bukit Besar, Haji Yahya Junid Padang Lumat, Lebai Isa Kepelu, Haji Ahmad Othman Kodiang, Haji Abdullah Abas Jitra (selaku khadamnya). Manakala dari Melaka pula seperti Haji Hussin Hafiz Umbai, Haji Abdul Jalil Sungai Udang dan dari Perlis pula seperti Haji Mokhtar Ismail Pengkalan Asam, dari Perak seperti Ustaz Muhammad Noor Salleh Sumatera (kemudian berhijrah ke Kelantan dan menetap di Kampung Banggul Ara). Anak muridnya yang terkemuka dari Kelantan ialah seperti Syeikh Daud Sulaiman al-Kelantani (bergiat dan meninggal di Mekah) Haji Awang Beta, Haji Ismail Kampung Talaq, Haji Ismail Cenderung Batu, Haji Abdul Aziz Pondok Terusan dan Haji Daud aI-Ahmadi Bandar Kota Bharu.
  • Beliau banyak terlibat dalam permodenan pentadbiran dan kemajuan agama Islam di negeri Kelantan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

DARJAH KEBESARAN

  • Beliau telah dianugerahkan oleh Sultan Yahya Petra Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan dan Darjah Dato' Paduka Jiwa Mahkota Kelantan pada tahun 1966 sebagai mengenang jasa dan baktinya.
  • Selain itu, beliau juga pernah mendapat gelaran Dato' Kaya Purba yang telah dianugerahkan pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1944 - 1961).
  • Beliau juga telah dilantik menganggotai Majlis Penasihat Raja dan juga sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Beliau diceritakan sebagai seorang yang serba boleh telah meninggal dunia pada 16 Mac 1968 (17 Zulhijjah 1387) ketika berusia 65 tahun 3 bulan.

      Mufti 8

       

DATO’ HAJI MUHAMMAD NOOR BIN HAJI IBRAHIM

( 1968M hingga 1987M )

LATAR BELAKANG

Nama                : DATO’ HAJI MUHAMMAD NOOR BIN HAJI IBRAHIM.

Tarikh Lahir       : 20 Ogos 1905.

Tempat Lahir     : Bandar Kota Bharu.

Isteri                 : Nik Zainab binti Hj Othman (7 orang anak).

 Hajah Maimunah binti Dahlan (3 orang anak).

                         Wan Aminah binti Wan Daud (3 orang anak).

PENDIDIKAN

  • Merupakan seorang murid perintis kelas Bahasa Inggeris di Sekolah Majlis (dibuka pada 8 September 1918) di bawah pimpinan Megat Othman bin Ali dari negeri Perak.
  • Beliau mendalami pengajian di Masjid al-Haram Mekah dan berguru dengan Syeikh Abdullah Singgora, Syeikh Noh Jamaluddin Kelantan, Syeikh Muhammad Noor Fatani, Tengku Mahmud Zuhdi Fatani, Pak Dor Ail Fatani, Haji Sulong Fatani (kemudian menjadi iparnya), Chair Pak Ya (Yahya) Reman dan ramai lagi.
  • Beliau amat berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang ilmu seperti syariah, usuluddin, tafsir, hadis, falak, miqaat, qiraah dan ilmu perubatan.
  • Mempunyai sikap yang berani dan tegas dalam memperkatakan soal-soal keagamaan dan ini telah menyebabkan beliau disegani serta dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Sumbangan dan tugasan pertama beliau adalah apabila dilantik memegang jawatan Kadi Besar Kelantan Ketiga pada 2 Januari 1939.
  • Beliau pernah memangku jawatan Mufti Khas pada 1 September 1941 hingga 28 Oktober 1944. Beliau telah memelopori kelas Tahfiz al-Quran di rumahnya di Kampung Penambang, Kota Bharu.
  • Semasa beliau menjadi guru di Jame' Merbau al-Ismaili (mulai 1 April 1945), beliau telah memperkenalkan pengajian ilmu falak dan mengajar ilmu hisab dalam bahasa Arab.
  • Kemudian beliau telah bertugas di Masjid Muhammadi Kota Bharu dengan memberi pengajaran dalam ilmu tafsir, syariah, fiqah dan qiraat mulai 1 Mac 1949.
  • Beliau menggunakan kaedah pengupasan dan cara penyampaian yang tersendiri dan ini telah menarik minat masyarakat terutama di kalangan pencari ilmu dan pendengar.
  • Mengendalikan Kelas Menghafal al-Quran perintis di Masjid Negara (yang kini dikenali Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat).
  • Di antara anak muridnya yang terkenal ialah seperti Abu Hassan Lebai Din (kini Dato' Abu Hassan aI-Hafiz), Muhsin Syeikh Ahmad, Ismail Mahmud, Zainal Abidin Ahmad dan Salehuddin Omar.

       Mufti 9

    

DATO’ HAJI ISMAIL BIN HAJI YUSUF

( 1987M hingga 1988M )

LATAR BELAKANG

Nama                : DATO’ HAJI ISMAIL BIN HAJI YUSUF.

Tempat Lahir     : Kampung Gong Kemuning Pasir Putih.

Tarikh Lahir       : Tahun 1915.

Perkahwinan beliau pada tahun 1936 dengan Hajah Che Hawa binti Che Muhamad telah dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu seorang lelaki (Muhamad Hilmi) dan dua orang perempuan (Paizah dan Hasniah).  

PENDIDIKAN

  • Beliau mempelajari al-Quran (bebalek) dengan Haji Abdul Samad Gong Kala.
  • Beliau mendapat pendidikan secara tradisional di Pondok Haji Muhammad bin Haji Omar, Gong Kemubu (abang Haji Daud Bukit Abal).
  • Beliau kemudian telah berpindah ke Pondok Kenali sebelum meneruskan ke Kampus Masjid Muhammadi Kota Bharu.
  • Guru-gurunya termasuk Haji Assad Kangkung, Haji Ahmad Hafiz, Abang Kob Legor, Haji Ahmad Maher, Haji Yaakob Lorong Gajah Mati, Haji Ali Pulau Pinang dan Haji Ahmad Hakim.
  • Beliau kemudian telah berguru dengan ramai tokoh terkemuka di Mekah seperti Syeikh Noh Jamaluddin al-Kelantani, Syeikh Hussin al-Palembani, Syeikh Hussin al- Yamani, Syeikh Hassan al-Masyat, Syeikh Muhammad aI-Arabi, Syed Alawi, Syed Amin dan ramai lagi.
  • Beliau telah berjaya menguasai pelbagai ilmu seperti nahu, saraf, usul fiqah, tarikh, tafsir, hadis, mantiq, qawaid fiqhiyyah, balaghah, fiqah dan tauhid atas berkat ketekunan beliau dalam mencari ilmu malah beliau juga dikenali sebagai seorang hafiz.

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Sumbangan dan Khidmat Masyarakat beliau mula bekerja sebagai guru di al-Madrasah al-Arabiah Jame' Merbau al-Ismaili pada 1 Mac 1949 hingga 31 Disember 1968 di mana kerja ini merupakan kerja yang paling lama dilakukan oleh beliau.
  • Kemudian beliau telah berkhidmat sebagai Kadi dalam tempoh yang singkat.
  • Bertukar ke Pejabat Mufti kerana diberi tanggungjawab memikul tugas sebagai Pendaftar/Setiausaha Mufti selama lebih kurang 10 tahun.
  • Seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan Mufti (penyandang sulung) pada 15 Oktober 1979. 
  • Beliau dilantik menjadi Mufti mulai 1 April 1978 hingga akhir hayatnya.
  • Semasa hayatnya beliau diberi kepercayaan menganggotai banyak jawatankuasa/ lembaga/ jamaah/ majlis/ panel dan sebagainya dalam bidang yang luas di peringkat negeri atau persekutuan.
  • Atas nama jawatannya sebagai Mufti, beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Raja dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
  • Antara sumbangan beliau juga termasuk mempengerusikan Dewan Syura Majlis Agama Islam yang baru sahaja ditubuhkan semasa perkhidmatan beliau.

PENULISAN

  • Dalam arena penulisan pula, beliau pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Majalah Pengasuh (pertengahan 1960-an) dan di samping itu juga banyak menghasilkan puluhan buku agama dalam bahasa Arab dan Melayu serta risalah-risalah umum.
  • Antara hasil karya beliau adalah seperti Mencari Kebenaran, Punca Perselisihan Ulama, Panduan Mengerja Haji dan yang paling terkenal ialah Muqaddimah Mastika Hadis.

DARJAH KEBESARAN

  • Beliau juga telah menerima anugerah darjah kebesaran semasa menjawat jawatan Timbalan Mufti iaitu Dato' Paduka Setia Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Dato' pada 31 Mac 1980.
  • Dipilih sebagai Tokoh Pendidik Yayasan Islam Kelantan ke-IV pada 18 Julai 1985.
  • Tokoh pendidik ini telah meninggal dunia pada 1.30 petang, (Sabtu) 9 Julai 1988 dan dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Hamzah Lama, Kota Bharu (berhampiran kampus baru Sekolah Kampung Sireh).

       Mufti 10

     

DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN CHE WOK

( 1988M hingga 1990M )

LATAR BELAKANG

Nama                : DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN CHE WOK.

Tempat Lahir     : Kampung Kubang Bunut/ Kasar, Pasir Mas.

Tarikh Lahir       : Tahun 1936.

Adik beradik      :  Lima orang adik-beradik dan merupakan anak bongsu dalam keluarga.

  

PENDIDIKAN

  • Beliau telah dihantar belajar al-Quran dengan Tuan Guru Haji Wan Mahmod bin Wan Abdullah iaitu seorang guru yang terkenal di Pasir Mas.
  • Pengajian rasmi bermula apabila beliau mula bersekolah di Sekolah Arab Pasir Mas pada tahun 1943.
  • Kemudian menyambung pengajian di Jame' Merbau al-Ismaili, Kota Bharu mulai tahun 1950 hingga 1954.
  • Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajian di Kolej Islam Malaya, Kelang pada tahun 1955 hingga 1959 dan merupakan pelajar pertama diberi biasiswa oleh Majlis Agama Islam Kelantan untuk melanjutkan pelajaran di kolej tersebut.
  • Setelah menamatkan pengajian di Kolej Islam Malaya, beliau terus memohon biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke Universiti AI-Azhar, Mesir.
  • Cita-cita suci beliau untuk ke Mesir telah dipenuhi apabila ditawarkan biasiswa Kerajaan Negeri Kelantan dan beliau berangkat ke Universiti AI-Azhar pada Oktober 1960. 
  • Beliau telah dianugerahkan pingat dan sijil khas kerana kejayaannya yang cemerlang dalam peperiksaan tahun akhir iaitu peringkat Sarjana Jurusan Syariah Bahagian Kehakiman Islam.
  • Beliau merupakan anak Melayu pertama peringkat M.A yang telah menerima penghormatan tersebut.
  • Beliau kemudian telah memasuki Maahad Islamiah di Mesir pada tahun 1964 selama setahun dan pada tahun 1965 telah kembali ke Kelantan.
  • Setelah tamat pengajian, hampir keseluruhan kegiatan hariannya terlibat dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan/ Akademi Islam Universiti Malaya (Oktober 1965 hingga November 1988).

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Merupakan seorang ahli akademik pertama yang telah dilantik sebagai Mufti dan juga merupakan satu-satunya mufti yang memakai songkok kerana sebelum ini kesemua mufti memakai serban.
  • Kerjaya beliau bermula dengan menjadi guru sementara pada Januari hingga Oktober 1960 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir.
  • Beliau bermula sebagai salah seorang pengasas/ ahli jawatankuasa penaja membawa kepada jawatan pensyarah pertama.
  • Kemudian beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Usuluddin dan Kemasyarakatan (1975), Naib Pengetua (1978) dan seterusnya Pengetua pada tahun 1980 ekoran kematian Ustaz Muhammad Ali Haji Harun pada 1 Januari 1980.
  • Setelah perkembangan yayasan pengajian ini menjadi Akademik Islam Universiti Malaya pada 3 Mac 1981, beliau telah dilantik menjadi Penyelaras bagi Kampus Cawangan Nilam Puri iaitu bermula 4 Jun 1981 hingga 1982.
  • Kemudian beliau dilantik menjadi Dekan Fakulti Usuluddin di antara tahun 1983 hingga 1984 dan akhir sekali jawatan yang disandang oleh beliau adalah Dekan Fakulti Syariah.
  • Dilantik menganggotai pelbagai Majlis Perunding seperti Ahli Jawatankuasa Dakwah di Pusat Islam Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pengurus Syariah Bank Islam, Ahli Syura di Majlis Agama Islam Kelantan, Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Pengerusi Dewan Ulama Berjasa (sebuah pertubuhan siasah).

DARJAH KEBESARAN

  • Jasa dan sumbangan beliau telah dihargai dan dikenang apabila pada 30 Mac 1987 beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Setia Mahkota (D.P.S.K) yang membawa gelaran Dato' oleh Baginda Sultan Kelantan.
  • Pada 18 Ogos 1990, beliau telah diisytiharkan sebagai Tokoh Pendidikan Yayasan Islam Kelantan 1990.

Tokoh pendidik ini telah meninggal dunia pada pukul 2.37 pagi, 17 Jun 1990 di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan telah dikebumikan di kubur Che Siti Kampung Banggul, Kota Bharu dalam gugusan pusara keluarga isterinya.

          Mufti 11

    

Dato' Haji Abdullah bin Mohd Hassan

( 1990M hingga 2008M )

LATAR BELAKANG

Nama                : Dato' Haji Abdullah bin Mohd Hassan.

Tarikh Lahir       : Tahun 1935.

Tempat Lahir     : Kampung Paya Lada, Ketereh, Kelantan.

Isteri                 : Datin Hajjah Wan Fatimah binti Haji Wan Mohamad.

Anak                 : Tujuh orang cahaya mata.

PENDIDIKAN

  • Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Mahligai, Melor, Kota Bharu pada tahun 1946 hingga 1949.
  • Kemudiannya pada tahun 1950 hingga 1957, beliau menyambung pendidikan di Pondok Kampung Buk, Ketereh, Kota Bharu.
  • Pada tahun 1958 hingga 1962, beliau ke Mekah untuk mendalami bidang agama dan berjaya mendapat Sijil 12 Thanawi dan seterusnya menyambung pembelajaran di peringkat Ijazah Pertama Syariah di Universiti Madinah pada tahun 1963 hingga 1969. 

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Memulakan perkhidmatan sebagai Pengetua Sekolah Agama Islamiah, Tawau, Sabah pada tahun 1970 sehingga tahun 1976.
  • Kemudiannya beliau dilantik sebagai Imam Besar Negeri Kelantan pada tahun 1977 hingga 1986.
  • Pada tahun 1987, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan.
  • Pada tahun 1991 pula, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Kelantan dengan rasminya.
  • Turut memegang beberapa jawatan penting lain antaranya sebagai Ahli Majlis MPR dan MPM, Ahli Jawatankuasa MAIK, Pengerusi Majlis Fatwa Negeri, Pengerusi Pondok Moden, Penasihat Syariah Tabung Haji dan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan (JAKIM).

DARJAH KEBESARAN

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau, maka beliau telah dianugerahkan beberapa Darjah Kebesaran antaranya :

  • Pingat Kemahkotaan (1980)
  • Pingat S.M.K (30 Mac 1982)
  • Pingat D.P.S.K (30 Mac 1989)
  • Pingat S.P.S.K (30 Julai 1997)
  • Darjah Dato' Kaya Perba (31 Mac 2001)

     Mufti terkini

      

Dato' Paduka Haji Mohamad Shukri bin Mohamad

( 2008M hingga KINI )

LATAR BELAKANG

Nama                : Dato' Paduka Haji Mohamad Shukri bin Mohamad.

Tarikh Lahir       : 17 September 1945.

Tempat Lahir     : Kota Bharu, Kelantan.

Isteri                 : Hajjah Salmiah binti Mohd Zain. 

Anak                 : Enam orang cahaya mata yang terdiri daripada dua lelaki dan empat                

                            perempuan.

PENDIDIKAN

  • Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Garong Kota Bharu, Kelantan.
  • Menyambung pendidikan di peringkat menengah di Maahad Muhammadi, Kota Bharu.
  • Bermula tahun 1968, beliau menyambung pelajaran di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan sehingga tahun 1972.
  • Kemudiannya beliau berjaya memperolehi Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1974.
  • Beliau juga memiliki Diploma Pendidikan pada tahun 1975.  

SUMBANGAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

  • Beliau memulakan perkhidmatan sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Sultan Abdul Jalil Kluang, Johor bermula tahun 1974 hingga tahun 1982.
  • Beliau telah kembali berkhidmat ke Kelantan sebagai guru Pendidikan Islam/ Bahasa Arab di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Falahiah, Tumpat, Kelantan bermula Januari 1983 hingga Jun 1989.
  • Beliau pernah dilantik sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah tersebut.
  • Pada Tahun 1989, beliau telah memulakan perkhidmatan sebagai pegawai agama di Majlis Agama Islam Kelantan.
  • Bermula Julai 1990, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan dan menyumbangkan jasa sehingga Disember 2007 kerana telah dilantik sepenuhnya sebagai mufti pada 1 Januari 2008.
  • Beliau merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja keagamaan, sosial, penerbitan dan ekonomi.
  • Dalam bidang keagamaan dan sosial beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Ahli Majlis Ulama MAIK, Ahli Dewan Syura MAIK, Ahli Jawatankuasa Dakwah MAIK, Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Membasmi Ajaran Sesat MAIK dan Pengerusi Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian Kota Bharu, Kelantan.
  • Dalam bidang penerbitan, beliau terlibat secara langsung sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan MAIK, Ahli Lembaga Yayasan Islam Kelantan (YIK) dari tahun 1996 sehingga sekarang, Pengerusi Jawatankuasa Kenaikan Pangkat YIK, Ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Penasihat Majalah Pengasuh.
  • Beliau juga terlibat sebagai Ahli Penasihat Syariah Amanah Raya Berhad (ARB) dan Ahli Jawatankuasa Dinar Mas Kelantan.

DARJAH KEBESARAN

  • Sebagai mengenang jasa dan sumbangan yang dicurahkan, beliau telah dianugerahkan Darjah Ahli Yang Kedua (Dato' Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K) oleh Sultan Kelantan pada 30 Julai 1991.

Latar belakang

Sistem Pengurusan Fatwa (FMS) adalah salah satu daripada usaha yang diambil oleh INFAD USIM untuk mengumpul dan menyebarkan fatwa dalam negara dan dari beberapa bahagian dunia telah dikumpulkan.

Pautan